PERTUBUHAN SENI SILAT GABUNGAN GERAKPANCA
SEJARAH
PERTUBUHAN SENI SILAT GABUNGAN GERAKPANCA ditubuhkan pada tahun 1970-an di Batu Pahat, Johor oleh 3 orang Guru Silat iaitu Tuan Guru Samson Bin Subari, Tuan Guru Azmi Bin Abd. Rahman dan Tuan Guru Norazman Bin Abd. Wahid. Ketiga-tiga mereka memiliki kepakaran dalam bidang tertentu contohnya seperti Tuan Guru Samson Bin Subari pakar dalam bidang pencak dan kebatinan, Tuan Guru Azmi Bin Abd. Rahman pakar dalam bidang tenaga dalam dan Tuan Guru Norazman Bin Abd. Wahid pakar dalam bidang perubatan dan herba serta permainan senjata. Dengan memegang semangat Ilmu Hak Rumpun Melayu yang tinggi martabatnya, maka mereka sepakat menubuhkan PERTUBUHAN SENI SILAT GABUNGAN GERAKPANCA yang selesai disusun silibusnya pada tahun 1988, untuk memperkayakan lagi khazanah kesenian bangsa melayu yang sememangnya lumrah ilmu semakin berkembang, bukannya semakin jumud.
Pengenalan
Sekarang akan dikupaskan maksud bagi setiap perkataan yang menjadi nama PERTUBUHAN kami iaitu PERTUBUHAN SENI SILAT GABUNGAN GERAKPANCA.
PERTUBUHAN - Membawa erti suatu organisasi yang sah dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
SENI - Bermaksud halus, indah, menarik, menggunakan kekuatan mental.
SILAT - Suatu bentuk beladiri yang dimiliki oleh rumpun Melayu di nusantara.
GABUNGAN - Adalah gabungan 3 perkataan yang terdiri dari GAGAH, BUNGA dan JUNJUNGAN yang secara langsung menjadi MOTO perguruan ini.
- GAGAH = Bermaksud Kuat, Keras, bertenaga. Ia juga bermaksud suatu
garapan ilmu persilatan dalam bentuk fizikalnya.
- BUNGA = Bermaksud indah, cantik, berseni. Ia juga bermaksud falsafah yang mendukung suatu matlamat untuk dicapai dan memerlukan kekuatan akal dan ketekunan dalam berfikir untuk memahaminya.
- JUNJUNGAN = Bermaksud yang diangkat, dimuliakan, diutamakan. Dalam perguruan ini, Junjungan yang dimaksudkan adalah Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Maka segala ilmu, akhlak dan disiplin adalah berlandaskan kepada syariat Islam yang dibawa olah Nabi Muhammad s.a.w. yang ditunjukkan melalui sunnah-sunnahnya merujuk kepada Al-Quran dan hadis-hadis.
GERAKPANCA - Terdiri daripada 2 perkataan iaitu GERAK dan PANCAINDERA. GERAK
bermaksud suatu yang dinamik, sentiasa berubah dalam erti kata
perubahan ke arah yang lebih baik untuk menuju kejayaan.
PANCAINDERA ialah deria yang dimiliki. Manusia biasa memiliki 5 deria
yang mana kesemua deria ini akan bergerak menurut keinginan
pemiliknya. Dalam persilatan, gerakan belebat dan jurus adalah
intrepretasi falsafah persilatan dalam bentuk fizikal melalui pergerakan
pancaindera dan ia juga dapat dikesan oleh pancaindera.