Draft:Ahmad Hata Rasit

Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit, yang merupakan anak jati kelahiran Semera, Sadong Jaya, Sarawak ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kelali, Semera dan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abang Haji Openg. Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan dan Ijazah Doktor Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1991 sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Surgeri (Ortopedik) dari universiti yang sama pada tahun 2001. Beliau juga merupakan mantan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UNIMAS selama tujuh tahun bermula pada tahun 2001.

Selain itu, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit ialah seorang pakar perubatan dalam bidang Ortopedik yang disegani di Sarawak. Bukan sahaja sebagai seorang pensyarah dalam bidang perubatan di UNIMAS, beliau juga memiliki kepakaran yang luas dalam bidang pembedahan Ortopedik sehingga mendapat kepercayaan memegang jawatan penting sebagai Perunding Ortopedik Kanan di Hospital Umum Sarawak. Berbekalkan dengan kepakaran dan pengalaman di dalam bidang perubatan, pada tahun 2005, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit telah dianugerahkan “Ilizarov and Limb Reconstructive Fellowship” yang memberikan penempatan kepada beliau di Royal Melbourne Hospital, Royal Women's Hospital, Royal Children's Hospital, Mercy Hospital, dan St. Vincent's Hospital di Melbourne, Australia.

Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit juga ahli di Pejabat Pendaftaran Pakar Kebangsaan dan Akademi Perubatan Malaysia. Selain itu juga, beliau turut memegang keahlian seumur hidup dengan Yayasan Kenyalang dan kepakarannya diangkat dan dilantik sebagai penasihat untuk Persatuan Ortopedik Pediatrik Sarawak. Beliau juga seorang penyelidik yang amat berwibawa dan inovatif dalam perancangan memperkasakan penyelidikan dan penemuan di dalam bidang perubatan. Di dalam bidang penyelidikan perubatan, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit telah memberikan penekanan kepada bidang ortopedik kanak-kanak, tulang belakang dan penyembuhan luka.

Tidak hanya di dalam bidang perubatan, beliau juga seorang yang aktif dalam pelbagai aktiviti di peringkat universiti. Pada tahun 2020, beliau telah dilantik sebagai Asisten Komisioner Polis Kehormat oleh Ketua Polis Negara (KPN) dan dilantik sebagai Komandan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) UNIMAS oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Polis Diraja Malaysia. Sumbangan dan kepimpinan beliau di UNIMAS tidak hanya terbatas dalam perubatan bahkan Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit juga seorang yang komited dalam membantu pengurusan universiti, akademik dan penglibatan terhadap komuniti setempat.

References edit

https://www.utusan.com.my/nasional/2024/01/dr-ahmad-hata-rasit-naib-canselor-unimas-yang-baharu/

Category:Vice Chancellor